Monday 20 June 2011

Menolak Dakwaan Islam Tersebar Melalui Pedang

Posted by Imam Muda Asyraf on June 20th, 2011

Ada beberapa argumentasi dari sebahagian pihak yang tidak bersetuju dengan Islam, telah memberi gelaran yang negatif kepada umat Islam itu sendiri tanpa memisahkan antara ajaran agama dan amalan agama. Ajaran agama itu suatu yang bersifat benar jika dinilai pada tekstualnya. Sedangkan amalan agama terkadang ianya sendiri melanggar ajaran agama yang telah ditetapkan.

Gelaran ‘pengganas’, fundamentalis’ dan sebagainya sebenarnya memberi kesan buruk kepada umat Islam seluruh dunia. Dakwaan bahawa penyebaran Islam selama ini secara logiknya tersebar melalui mata pedang dan peperangan adalah dakwaan yang bersifat tidak adil.

Islam berasal dari kata akar ‘salam’ yang bererti damai. Selain itu juga bererti penyerahan kehendak seseorang kepada Allah. Dengan demikian Islam adalah agama kedamaian. Tidak semua orang di dunia mendukung pemeliharaan kedamaian dan harmoni. Walaupun terkadang kekerasan harus juga digunakan untuk memelihara kedamaian.

Apabila dakwaan berkenaan ‘Islam tersebar dari mata pedang’ tersebar, bangkit salah seorang ahli sejarawan terkemuka De Lacy O’ Leary dalam bukunya “ Islam at The Cross Road” mengatakan bahawa “Lagenda tentang orang-orang Islam fanatik menyapu dunia dan memaksakan Islam sampai menggunakan pedang atas bangsa-bangsa yang ditakhluki adalah satu mitos luar biasa yang pernah diulang-ulang para sejarawan”.

Sedangkan di dalam al-Quran Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas seperti di dalam surah al- Baqarah ayat 256 yang bermaksud : “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat…”

Almarhum Said Hawwa menyatakan bahawa agama Islam tidak memaksa manusia menganutinya. Ayat ini juga diulas oleh Syed Qutb yang menyatakan akidah menyentuh soal penerimaan dengan rela hati dan ia tidak boleh berlaku secara paksa.

Begitu juga di dalam surah Yunus ayat 99 yang bermaksud ; “…Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?”

Menurut al-Qurtubi, Ibnu Abbas melaporkan Rasulullah SAW beriya-iya mahu mengislamkan semua manusia di bumi. Lalu ayat ini turun mengingatkan beliau bahawa manusia tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam. Ianya perlu berasaskan kepada hidayah Allah.

Sejarah juga membuktikan betapa kaum Muslimin memerintah Sepanyol selama hampir 800 tahun tidak pernah sama sekali menggunakan pedang mereka untuk memaksa orang berpindah agama. Sehinggalah datangnya penjajahan terhadap orang Muslim di Sepanyol yang menyaksikan pembunuhan besar-besaran dan tidak ada seorang Muslim di Sepanyol yang boleh mengalunkan azan secara terang-terangan.

Orang Muslim menguasai tanah Arab selama 1400 tahun. Sekiranya pedang itu digunakan sebagai alat menyebarkan Islam, maka tidak mungkin 14 juta orang Arab memeluk Kristian Koptik selama ratusan generasi. Begitu juga kisah pemerintahan Muslim di India selama sekitar 1000 tahun. Namun majoritinya penduduk India bukan beragama Islam. Sekiranya pedang juga sebagai alatnya, sudah pasti semua penduduk di India akan memeluk Islam.

Persoalan juga berbangkit disini adalah, bagaimana dengan Islam di Malaysia dan Indonesia. Pasukan tentera manakah yang menyerang dengan pedang sehingga menyebabkan tersebarnya Islam di kedua Negara ini. Begitu juga penyebaran Islam di pesisir timur Afrika. Orang boleh bertanya lagi, jika Islam disebarkan dengan pedang, “Pasukan muslim mana yang menyerbu pesisir timur Afrika


Hakikat sebenarnya pedang yang dimaksudkan disini adalah pedang intelektual. Nabi SAW datang menakhluk hati dan pemikiran manusia dengan pedang intelektual. Ini jelas dengan saranan al-Quran di dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud : “Serulah ( manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berbantahlah dengan mereka menggunakan cara yang baik…”

Disebabkan pendekatan inilah kita menyaksikan bahawa peningkatan tertinggi jumlah pengganut agama di dunia sekarang adalah agama Islam. Artikel dalam ‘Readers Digest ‘Almanac’ tahun 1986 menyampaikan data statistik tentang peningkatan peratusan agama-agama di dunia dalam sesetengah abad, iaitu dari 1934 hingga 1984 dan artikel ini dimuat di dalam majalah “The Plain Truth” yang mengatakan Islam menduduki tangga teratas iaitu sebanyak 235 peratus. Persoalan berbangkit disini ialah, peperangan apakah yang meletus sehingga membuatkan tersebarnya Islam dengan sebegini luas seluruh dunia.

Malah dalam Islam sendiri melarang perbuatan membenci dan memerangi orang bukan Islam yang hidup di tengah-tengah mereka. Malah al-Quran menggalakkan berlaku adil dan membuat kebajikan dalam berinteraksi dengan bukan Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud : Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimua. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

Menurut al-Razi, Ibnu Abbas melaporkan ayat ini menceritakan tentang bani Khiz’ah. Mereka membuat perjanjian damai dengan Rasulullah bagi tidak memerangi umat Islam dan tidak membantu siapa sahaja bagi tujuan itu. Juga dari kisah Asma’ binti Abu Bakar bersama ibunya. Apabila ibunya yang masih belum memeluk Islam datang menemuinya di Hudaibiah yang pada ketika itu ia bertanya kepada Rasulullah SAW : “Apakah aku wajar berhubung dengannya?”, maka jawab Rasulullah SAW, “ Ya, berhubunglah dengan ibu kamu”. Hadith riwayat Bukhari Muslim.

Malah orang bukan Islam yang hidup di tengah masyarakat Islam memiliki kehormatan dan hak yang harus dipenuhi. Mereka mendapatkan tanggungan dari Allah dan RasulNya. Rasulullah pernah bersabda di dalam hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud : “Ketahuilah bawaha barang siapa yang menzalimi seorang kafir mua’ahid atau bertindak sewenang-wenang terhadapnya, atau membebaninya dengan sesuatu di luar kemampuannya, atau mengambil sesuatu darinya tanpa keredhaannya, maka aku akan menuntut pada hari kiamat kelak.”

Sehinggakan Nabi SAW bersabda dalam riwayat al-Tabrani yang bermaksud : Siapa yang menyakiti orang zimmi, dia juga menyakitiku, dan siapa yang menyakitiku, dia juga menyakiti Allah.

Malah apabila datangnya waktu yang amat getir iaitu peperangan sekalipun Islam melarang meruntuhkan rumah ibadah orang yang bukan Islam. Ini dinukilkan daripada kitab al-Kharaj karangan Abu Yusuf yang melaporkan Rasulullah SAW dalam surat beliau kepada penduduk Najran antaranya tertulis, ‘” Bagi penduduk Najran dan jajahan takhluknya, perlindungan Allah dan jaminan Nabi Muhammad SAW Rasulullah pada harta mereka, agama mereka, rumah-rumah ibadah mereka dan apa sahaja yang ada di tangan mereka samada sedikit atau banyak”

Begitu juga kisah apabila Khalifah Umar ternampak orang Yahudi meminta sedekah, beliau terus membawanya ke Baitul Mal selepas mengetahui Yahudi itu perlukan bantuan kerana sudah tua dan miskin. Beliau berkata kepada pegawai Baitul Mal, “ Kita tidak adil sekiranya mengambil jizyah darinya semasa dia muda dan kecewakannya apabila ia tua”.

Islam bukan sahaja memelihara orang bukan Islam, malah memberi makan kepada mereka walaupun ianya merupakan tawanan peperangan. Firman Allah SWT dalam surah al-Insan ayat 8 yang bermaksud : “ Dan mereka memberi makanan yang disukainya pada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan”. Lalu Syeikh al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani berkata Hassan al-Basri melaporkan bahawa apabila Rasulullah SAW menerima tawanan-tawanan perang yang terdiri dari orang bukan Islam, beliau menyerahkan mereka pada sebahagian orang Islam. Mereka dijaga oleh orang Islam selama dua ataupun tiga hari. Beliau mengarahkan supaya orang Islam berbuat baik pada tawanan-tawanan itu. Lalu orang Islam lebih mengutamakan tawanan perang berbanding diri mereka sendiri.

Pelbagai contoh dan bukti yang menolak sebarang dakwaan pihak tertentu dengan mengaitkan tertegaknya Islam adalah melalui mata pedang. Malah dakwaan tersebarnya Islam serata pelosok dunia ini adalah kesan penjajahan melalui kezaliman umat Islam juga terbukti tidak benar. Bukan sekadar teks agama dan akhlak toleransi Rasulullah SAW sebagai bukti kesalahan dakwaan tersebut. Malah ianya dihiasi dengan perkataan para sejarawan dan kisah-kisah lampau yang tidak boleh ditutup nilai sejarahnya.

No comments:

Post a Comment