Sunday 25 September 2011

Ramalan Rasulullah Mengenai Dua Jenis Manusia Penghuni Neraka


   Diriwayatkan oleh Imam Muslim didalam kitab Sahihnya, dimana ia berkata; "Telah meriwayatkan kepadaku Zubair bin Harb; telah meriwayatkan kepada kami Jarir dari Suhail, dari ayahnya, dari Abi Hurairah Radhiyallahu 'Anhu, ia berkata ; bahwa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda:

    "Dua jenis orang di antara penghuni neraka yang belum aku lihat, yaitu: sekelompok orang yang membawa cambuk seperti ekor lembu yang mereka gunakan untuk memukuli orang-orang lain dengannuya, dan juga wanita-wanita yang berpakaian akan tetapi (laksana) terbuka; yang menarik perhatian, dan berjalan melenggang, dimana kepala mereka seperti punak unta berleher panjang dan miring, dan mereka itu tidak akan masuk syurga serta tidak akan pernah mencium aromanya, padahal aromanya dapat terjangkau dalam jarak demikian, dan demikian." ( HR.MUSLIM )

Tingkatan hadits:
    Hadits tersebut sahih, sebagaimana ditulis oleh Imam Muslim didalam kitab sahih miliknya.

Kenyataan dari yang diramalkan.
    Telah menjadi kenyataan apa yang diramalkan oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam, dimana memang telah muncul di tengah-tengah masyarakat dua jenis manusia seperti tersebut. Yaitu, orang-orang yang di tangannya memegang cemeti yang digunakan untuk memukuli orang lain kerana suatu alasan atau bukan. Mereka itu adalah polisi dan sejenisnya. Jenis kedua ialah wanita-wanita yang berpakaian tapi terbuka, yang berjalan lenggang lenggok untuk menarik perhatian, yang gemar bersolek dan menggoda kaum lelaki.

    Imam An Nawawi Rahimahullah Ta'ala berkata: "Bahawa hadits tersebut termasuk di antara mu'jizat ke Nabian, dan memang telah terbukti apa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam dimaksud." Adapun orang-orang yang memegang cemeti, mereka adalah kaki tangan para polisi. Sedangkan yang dimaksudkan dengan wanita-wanita berpakaian akan tetapi terbuka, maka dalam hal ini ada beberapa pengertian tentang itu, di antaranya adalah;
1.    Wanita-wanita yang berpakaian dengan nikmat Allah akan tetapi telanjang dari mensyukurinya.
2.    Wanita-wanita yang berpakaian, akan tetapi kosong dari perbuatan baik, dari perhatian terhadap akhirat dan ketaatan.
3.    Mereka yang membuka sebahagian dari tubuhnya untuk mempertontonkan kecantikan, dan mereka inilah yang berpakaian akan tetapi terbuka.
4.    Mereka yang mengenakan pakaian sangat tipis, hingga terlihat apa yang ada dibaliknya. Dengan kata lain, walaupun mereka berpakaian, akan tetapi sesungguhnya mereka telanjang.
    Adapun maksud dari kata-kata 'mailat mumilat', ada yang mengatakan; yaitu mereka yang menyimpang dari ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, serta dari apa yang harus mereka lakukan untuk menjaga kemaluan mereka dan sebagainya. Dan mumilat adalah memberitahukan kepada orang lain tentang kelakuan mereka. Lalu ada pula mengatakan, bahawa mailat adalah berlenggang lenggok dalam berjalan seraya meiringkan bahu-bahu mereka. Kemudian ada lagi yang mengatakan, bahawa mereka menyisir rambut dengan sisiran yang miring seperti dandanan para pelacur. Selain itu ada juga yang mengatakan, yaitu mereka yang cenderung kepada lelaki dan menarik perhatian mereka dengan menampakkan perhiasan mereka. Adapun ungkapan yang berbunyi; 'kepala mereka seperti punuk unta', ertinya wanita-wanita yang membesarkan kerudung dan tutup kepala mereka, sehingga mirip dengan punuk unta.
    Al Majari berkata; "Boleh juga diertikan, bahawa mereka memandang kepada lelaki, akan tetapi tidak menundukkan pandangan dan kepalanya."

    Imam Al Manawi Rahimahullah Ta'ala berkata; "Bahwa hadits diatas memuat dua jenis manusia yang bakal ditemui. Demikianlah yang terjadi yaitu setelah generasi pertama berakhir, muncullah sekelompok orang yang memegang cemeti. Pada mulanya mereka tidak diperkenankan memukul orang secara sebarangan, dengan tujuan sengaja untuk menyakiti. Dan mereka inilah para kaki tangan komandan polisi yang dikenal dengan algojo.
    Kedua, adalah para wanita yang berpakaian pada lahirnya akan tetapi telanjang pada pengertiannnya, karena mereka memakai pakaian yang tipis sampai terlihat warna kulitnya. Atau mereka yang memakai pakaian perhiasan-perhiasan akan tetapi telanjang dari pakaian taqwa. Atau memakai pakaian nikmat dari Allah, akan tetapi tidak mensyukurinya."

    Lalu al Manawi Rahimahullah Ta'ala berkata lagi: "Ini merupakan bagian dari mu'jizat Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam. Sebab sesungguhnya wanita-wanita zaman sekarang, tidak terkecuali isteri para ulamanya, mereka senantiasa menambah besar kepala mereka seperti serban, dan setiap mereka melakukan itu, hingga mereka diikuti oleh wanita-wanita lain. Dengan kata lain, isteri-isteri ulama tersebut semakin membesar-besarkannya, agar mereka tidak tersaingi kerana keangkuhan dan kesombangan.


Wallahu'alam.




"Adakah Kita Seorang Islam"


- Md. Faizal 






"Adakah Kita Seorang Islam"

    Peringatan buat diriku yang sering lupa........

    Adakah kita seorang Islam????

    Pernahkah kita terfikir...

    Hidup kita ini hanyalah sementara. Sampai masanya kita akan pergi menemui Allah. Apakah bekalan dan persediaan kita menempuh hari kematian. Dalam kita mengejar kejayaan dunia, kita sering lupa bahawa tujuan hidup kita yang sebenar.. apakah pilihan kita? Beruntunglah orang-orang yang berebut-rebut menagih ihsan dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya keredhaan Allah yang kita cari.

    Dunia yang semakin tua ini sering dilanda masalah, bermula daripada jerebu, kegawatan ekonomi, timbul pula gejala murtad... Fitnah.. gempa bumi, peperangan dan bermacam-macam lagi. Ini sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita. Adakah kita benar-benar menginsafinya. Semua ini juga adalah bala!! Tanda kemurkaan Allah!!

    Adakah kita benar-benar seorang Islam????

    Maka, adakah kita fikir bahawa kejayaan kita di Universiti dapat membawa kita ke Syurga? Adakah kita fikir bahawa kejayaan kita adalah kerana usaha dan ikhtiar anda sendiri. Tidak malukah kita mengaku diri kita hebat, bijak, rajin ... walhal semuanya adalah kurnia Allah. Segala kelebihan yang ada pada kita adalah datangnya dari Allah. Apakah kita fikir Allah itu akan menyukai hambaNya yang tidak bersyukur.

    Adakah kita yakin kita seorang Islam???

    Jadi, mengapa kita begitu asyik mendengar lagu-lagu yang haram hukumnya di sisi Islam. Sedangkan Rabiatul Adawiyah tidak mahu melupakan Allah walau sedetik sekalipun. Hassan Basri pula menangis sampai berjujuran airmata kerana menyesal melupai Allah dalam beberapa minit. Tetapi, mengapa kita masih leka di buai muzik dan lagu-lagu yang sama sekali tidak ada dalam anjuran Islam.

    Siapakah Siti NurHaliza, Backstreetboys, 911, West Life, KRU, Ziana Zain... ??? Adakah mereka dapat memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak. Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berzikir kepada Allah..Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berselawat kepada Rasulullah... Siapa diri kita sebenarnya!!!! Firaun??? Tentu tidak.. jadi, siapa kita sebenarnya, wahai manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina!!!!

    Apakah kita yakin kita bertuhankan Allah????

    Maka, mengapa kita tidak mahu mengejar Dia... Mengapa kita masih mendedahkan aurat. Mengapa kita masih tidak mahu menuntut ilmu. Syariat, Tariqat, Hakikat, dan Makrifat. Feqah dan Tasauf... Dapatkah kita menghuraikan cabang-cabang ilmu tersebut.. Tidak malukah kita kerana gagal menghuraikannya, jauh dari mengamalkannya. Adakah kita harus mempersalahkan puak-puak kristian yang berjaya memurtadkan ribuan umat Islam jika kita sendiri gagal memperhebatkan pertahanan diri. Ketahuilah... sesungguhnya Iblis itu amat suka kepada mereka yang tidak berilmu.. Sedarilah bahawa, kejahilan boleh menyebabkan dosa. Dosa!!! Kita tidak takut dosa. Berapa banyak amalan kita yang boleh menghapuskan dosa seharian???

    Apakah kita begitu yakin utk menempuh akhirat????

    Siapakah kita menjelang hari kematian? Adakah kita seorang Islam. Bersediakah kita berhadapan dengan malaikat maut. Apakah kita merasakan diri kita terlalu mulia sehingga tidak ada daya utk menjauhkan diri dari perbuatan mungkar.

    Kita pergi kuliah, pergi kerja ...
            ** kita yakin kita telah menutup aurat?
    Kitaa solat ...
            ** kita yakin solat kita tidak tercela?
    Kita makan ...
            ** kita yakin rezeki yang kita jamah diredhai Allah?
    Kita minum ...
            ** kita yakin di akhirat kelak kita akan dapat minum seperti yang kita minum sekarang?
    Kita ketawa ...
            ** kita tidak malu pada Allah?
    Kita cemerlang dalam SPM,PASCAL, LOGIK, TITAS,C++, ...
            ** kita yakin semua itu dapat membantu kita menjelangnya fitnah kubur?
    Kita berpuasa ...
            ** kita yakin puasa kita mulia sehingga dapat membela kita di hari akhirat?
    Kita sihat ...
            ** kita yakin Allah muliakan kita?
    Kita sakit ...
            ** kita tidak malu pada Allah kerana menarik balik nikmat kesihatan?
    Siapa Kita????
    Kita adalah manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina dina.. Betapa hinanya kita... tapi, kita masih mampu tersenyum dan tertawa. Ketahuilah bahawa, mereka yang suka berlawak jenaka akan dicampakkan ke dalam NERAKA yang paling JAUH...... sejauh bintang Surayya...

    Bersedialah menempuh hari selepas kematian, bersedialah untuk menempuh sakaratul maut. Burulah cinta ALLAH, sebelum Allah menutup pintu rahmatnya. Sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang PASTI!!!!

    Siapa kita????
        Kita adalah hambaNya.


Wallahu'alam



"Roh Meminta Melihat Jasad"


- Md. Faizal 





"Roh Meminta Melihat Jasad"

    Ada satu riwayat menceritakan bahawa apabila roh itu keluar dari tubuh, selepas berlalu tiga hari ia memohon kepada Tuhan "Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku untuk melihat tubuhku yang dahulu sewaktu aku berada di dalamnya."
    Selepas Allah perkenankan, roh itu pun segera ke kubur dan dapat melihat kedua lubang hidung dan mulut mengalir darah. Melihat keadaan yang menimpa tubuhnya, roh itu pun terus menangis dan merintih sepuas-puasnya: "Aduhai tubuhku yang miskin lagi lemah, wahai kekasihku. Ingatkah akan hari kehidupanmu? Rumah ini adalah rumah serigala, rumah bencana, rumah yang sempit dan gelap-gelita serta rumah kesusahan dan kepayahan".

    Selepas berlalu lima hari, sekali lagi roh itu perkenan daripada Allah untuk melihat tubuhnya. Kali ini dilihat tubuh itu mengalir darah dari hidung dan mulut pula mengalir nanah dan najis. Keadaan yang sama keluar juga dari kedua lubang telingannya. Melihat keadaan yang ngeri itu sekali lagi roh menangis dan meratap dengan bersungguh-sungguh serta berkata: "Wahai tubuhku yang miskin, ingatkah hari kehidupanmu? Inilah rumah kegelisahan, rumah bencana, rumah kala dan ular yang akan memamah dagingmu, akan mengoyak kulit dan seluruh anggotamu".

    Kemudian roh pergi lagi menemui Tuhan selepas tujuh hari berlalu. Seperti biasa Allah perkenankan dia ke kubur dan melihat tubuhnya, roh mendapati tubuhnya dipenuhi cacing. Sambil memekik dan menangis sekuat-kuatnya roh itu bersuara "Wahai tubuhku adakah anda ingat hari kehidupanmu? Di mana harta kekayaanmu, di mana isterimu, kekasihmu dan anak-anakmu? Di mana keluarga dan kaum kerabatmu sekarang? Dimana sahabatmu sekarang? Di mana jiran-jiran mu sewaktu hidupmu dulu? Mereka semuanya ikut menangis dan mencucurkan air mata ketika aku berpisah dengan engkau?

    Sementara itu diceritakan daripada Abu Hurairah:
        "Apabila seseorang mukmin itu mati, rohnya akan berkeliling di sekitar rumahnya selama satu bulan. Roh itu dapat menyaksi serta melihat apa yang ditinggalkan terutama mengenai harta-benda dan kekayaanya. Ia juga akan mengetahui bagaimana cara membahagi harta dan membayar segala hutangnya. Selepas genap sebulan roh itu kembali ke liang kuburnya. Selepas itu selama setahun pula mengelilingi dan dapat mengetahui siapa yang mendoakannya dan orang yang berasa sedih dan duka akan peninggalannya."

    Apabila genap setahun barulah roh itu dibawa naik untuk dikumpulkan dengan seluruh roh yang lain sehingga tibanya Hari Kiamat, sehingga ditiup sangkakala Israfil. Dalam satu riwayat menyebut bahawa yang dimaksudkan roh itu adalah roh anak Adam(manusia). Sementara daripada keterangan yang lain pula berpendapat bahawa roh itu adalah roh malaikat Jibril. Juga ada keterangan menyebut bahawa roh itu adalah roh Nabi Muhammad s.a.w yang bersemayam di bawah Arasy, meminta izin dari Allah pada malam al-Qadar untuk turun memberikan salam dan penghormatan kepada seluruh mukminin dan mukminat. Ada juga menyebut bahawa roh itu adalah roh kerabat yang sudah meninggal dunia. Mereka sama-sama memohon kepada Tuhan "Wahai Tuhan kami, semoga Engkau perkenankan kami untuk turun ke rumah kami di mana kami akan melihat anak-anak dan keluarga kami yang ditinggalkan" maka roh pun turun pada malam al-Qadar.

    Allah berfirman dalam surah al-Qadar ayat 4 bermaksud:
        "Malaikat sama turun dengan roh",
    Sementara dalam surah an-Naba ayat 38 bermaksud:
        "Mereka tidak dapat berbicara pada hari roh (Jibril atau ruhul kudus) malaikat berdiri dengan berbaris."
    Menurut riwayat Ibnu Abbas;
        "Jika datang hari raya, hari Asyura, hari Jumaat yang pertama dalam Rejab, malam Nisfu Syaaban, Lailatul Qadar dan malam Jumaat, roh mayat itu sama keluar dan datang berdiri di muka pintu serta berkata: "Kasih sayanglah kamu sekalian terhadap kamu di alam yang penuh berkat ini dengan melakukan sedekah, sebab kami mengharapkan (pahala) sedekah jika sekalian bakhil dan kedekut serta tidak sudi bersedekah maka hendaklah anda ingat kepada kami dengan bacaan surah al-Fatihah pada malam yang penuh keberkatan ini."



Wallahu'alam




Amalan Ayat Kursi


Amalan Ayatul Kursi

Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasulullah s.a.w. dengan segera memerintahkan Zaid Tsabit menulis serta menyebarkannya.
*    Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, insyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s.w.t.

*    Mengikut keterangan dari kitab "Asraarul Mufidah" sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.

*    Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.

*    Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Sesiapa pulang kerumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran didepan matanya.

*    Sabda baginda lagi; "Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat,kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."

*    Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.

*    Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.

*    Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.

*    Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.

*    Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.

*    Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.

*    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

*    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.

*    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 disekitarnya.

*    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat.

*    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

*    Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.

*    Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya
Wallahu'alam



Jalan Mana Yang Ke Mana?


Jalan Ke Syurga Dan Jalan Ke Neraka
   

Tersebut dalam hadith Rasulullah s.a.w. sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu masuk ke dalam syurga:
1. Mengajar anak tentang kewajipan agama Islam.

2. Beramal ibadah di masa muda (sudah tentu diteruskan hingga ke tua).

3. Bertolong-tolong kerana Allah.

4. Menjauhkan diri dan keluarga daripada berzina kerana takut kepada Allah.

5. Sembahyang Tahjud dan menangis (menagis kerana insaf takut akan azab Allah).

6. Bersedekah dan berwakaf, menderma dengan sembunyi (diam-diam).

7. Berhubung hati dengan masjid dan rumah-rumah ibadah kerana sembahyang berjemaah dan belajar agama Islam.
Dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. menerangkan lagi tentang cara-cara (jalan-jalan) untuk masuk ke Syurga.
1. Sembahyang berjemaah.

2. Selalu berada di tempat pengajian agama.

3. Menziarahi orang sakit.

4. Mengiringi mayat hingga ke kubur (lelaki sahaja).

5. Mengadakan jamuan kenduri dan lain-lain (tidak melanggar syariat).

6. Mendamaikan orang yang bergaduh.

7. Menolong anak yatim dan orang miskin.

Rasulullah s.a.w. seterusnya memberitahu dan amaran (jalan) tentang sebab-sebab seseorang itu dicampakkan ke dalam Neraka. Na'uzubillah min zalik...
1. Orang-orang yang tidak menjalankan tanggungjawab, memberikan pelajaran agama Islam kepada anak-anak cucunya.

2. Orang kaya yang bakhil.

3. Peniaga yang penipu.

4. Peminum arak.

5. Mengadakan majlis-majlis maksiat.

6. Berzina.

7. Menipu/memakan harta anak yatim.

8. Meringan-ringankan sembahyang.

9. Tidak mengeluarkan zakat.

10. Panjang angan-angan dan tidak mahu memohon ampun dan taubat kepada Allah.
Kemudian Rasulullah s.a.w. memberitahu 10 lagi jalan-jalan ke Neraka.
Na'uzubillah min zalik.....
1. Meninggalkan sembahyang.

2. Minum arak.

3. Berzina.

4. Durhaka kepada ibu bapa.

5. Berbuat fitnah.

6. Suami dan ibu bapa yang dayus.

7. Mendapat dan memakan harta haram.

8. Berbohong dan berdusta.

9. Ilmu sihir.

10. Dengki dan khianat.
Di bawah ini diturunkan satu cerita untuk sama-sama kita renungi, dan ambil iktibar daripadanya.
    Peristiwa ini terjadi di zaman Rasulullah semasa pemerintahan Abdullah bin Zubair r.a. Di zaman beliau terdapat seorang yang bekerja mencuri kain kafan mayat di dalam kubur. Beberapa lama mencuri akhirnya beliau insaf dan berjumpa dengan seorang guru untuk bertaubat.

    Tuan guru tidak mahu mengajarkan kalimah taubat melainkan setelah beliau terangkan kesalahannya. Lalu beliau menceritakan pekerjaannya mencuri kain kafan mayat di dalam kubur untuk dijual. Semasa mencuri kain-kain kafan itu, terdapat beberapa kejadian (keadaan) kepada mayat berkenaan.

Orang itu pun menceritakan keadaan mayat-mayat itu dan tuan guru itu menyebutkan kerja mayat itu ketika hidup.
1. Mayat berpaling daripada kiblat: Tuan guru itu menerangkan orang itu semasa hayatnya mempunyai kepercayaan yang salah.

2. Semua kuku-kuku kaki dan tangannya mencengkam bumi: Berbuat kesalahan yang bersangkutan dengan manusia.

3. Mayat menjadi batu hitam: Menunjukkan si mayat semasa hayatnya durhaka kepada ibu bapa.

4. Perut mayat menjadi besar (buncit), penuh dengan ular bisa dan berbau amat busuk: Semasa hayatnya peminum arak.

5. Mengalir darah, nanah dan sebagainya melalui tiap-tiap liang dan lubang pada anggota dan berbau busuk, lebih busuk daripada bangkai: Menunjukkan semasa hidupnya ia berzina.

6. Mayat bertukar berupa babi: Tanda orang itu meninggalkan sembahyang.

7. Cantik, putih kuning, senyum, manis dan bau yang harum: Tanda keimanan orang itu semasa hidupnya.
Tiada bentuk manusia yang dikasihi Allah melainkan:
1. Tawadhu'
2. Pemurah
3. Taubat

Di dalam hadith Qudsi pula diceritakan, ada 3 golongan manusia yang disukai oleh Allah dan 3 golongan lagi lebih disukai oleh Allah, iaitu:
1. Orang yang tawadhu' dan orang kaya yang tawadhu' lebih disukai Allah.
2. Orang yang pemurah dan orang miskin yang pemurah lebih disukai oleh Allah.
3. Orang yang taubat dan orang muda yang taubat lebih disukai oleh Allah.
Di dalam hadith Qudsi itu juga ada diceritakan 3 golongan yang lebih dibenci oleh Allah:
1. Orang yang takabur dan orang miskin yang takabur.
2. Orang yang bakhil dan orang kaya yang bakhil.
3. Orang yang tidak mahu bertaubat dan orang muda yang tidak bertaubat lebih dibenci oleh Allah.


Wallahu'alam.





Petua Membelai Cinta

- Ustadz Ismail Kamus




PETUA MEMBELAI CINTA

        INDAHNYA cinta jika bersulam keikhlasan. moleknya cinta andai setia yang dipertaruhkan dan untungnya bercinta jika berkekalan sampai bila-bila. Namun panas yang diharapkan sampai ke petang, siapa sangka hujan turun ditengah hari. Puas sudah membajai cinta, dibumbui dengan kasih dan sayang, membelai dan memupuknya dengan penuh tanggungjawab namun pasangan yang bertakhta di sanubari tetap berubah hati. Terlalu sukarkah mencintai isteri atau sememangnya si suami tidak pernah mensyukuri?

        Datuk Ustaz Ismail Kamus membincangkan: "Perempuan umpama cermin, mesti cermat dan halus bila berhadapan dengan mereka. Lebih-lebih yang bergelar isteri. Sensitif, cepat kecil hati, merajuk dan minta dipujuk memang sifat wanita. Sebenarnya bukan susah melayan isteri.

        Seorang suami yang pandai mengambil hati, memujuk rayu jika diperlukan, bercakap lemah lembut dan rajin bergurau senda, ia sudah cukup dan memadai. Perhatikan hasilnya, si isteri akan sanggup bersusah payah menyediakan makan dan minum di samping menguruskan rumah tangga, malah sanggup pula ke hulu ke hilir menambah pendapatan suami. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, insya-Allah hidup pasangan begini akan rukun damai sampai bila-bila.

        Bagaimanapun hal ini merujuk kepada wanita yang melimpah ruah dengan kasih dan sayang. Mengutamakan rumah tangga dan berusaha menceriakannya walaupun si suami bukan berpangkat besar atau mempunyai wang yang banyak. Apabila ditujukan kepada wanita yang memegang prinsip, ada wang abang sayang, tak ada duit abang melayang lain pula penyudahnya. Jika yang dicintai itu adalah wang, yang disayang itu adalah kemewahan, memang rumah tangga tidak bahagia dan aman. Kerana yang diburu adalah wang dan harta, maka bila ada kedua-duanya di depan mata, si isteri akan berasa nikmat kebahagiaan namun bila semuanya melayang, wanita begini akan berasa terlalu kecewa dan bersusah hati, ujarnya.

        Beliau menambah, "Bagaimanapun kalau dikatakan, peranan wang membeli kasih dan sayang, ia memang berkait antara satu dengan yang lain. Namun wang itu sekadar dijadikan sebagai alat dan bukan matlamat. Wang berperanan menyenangkan pasangan membina rumah tangga. Mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga, memiliki kenderaan dan apabila berlaku sebarang bencana, wang dapat merungkai masalah yang melingkari. Jika mengandaikan wang untuk membeli cinta dan mengeratkan kasih dan sayang, tandanya kita sudah tersilap menafsir. Sepatutnya utamakan nilai kasih dan sayang yang diberikan oleh suami atau isteri, justeru andai suatu hari kita ditimpa musibah dan hidup dalam serba kekurangan, tidaklah cepat melatah.

        Cuba perhatikan mereka yang tinggal di kampung. Ada pasangan yang hidup melarat dan menderita kerana tidak mempunyai wang yang banyak, namun ikatan kekeluargaan erat dan sendat dengan kasih dan sayang," jelasnya. Beliau tidak menafikan, wanita sekarang lebih ramai yang celik mata dan sedar tentang perlunya membelai cinta sampai ke tua, sedangkan lelaki asal ada orang yang menguruskan rumah tangga sudah memadai. Golongan begini, malas hendak memupuk atau membajainya walaupun mereka mampu melakukan.

        Wanita ketara sudah celik mata. Ini dapat diperhatikan dalam ceramah atau syarahan. Mereka lebih banyak jika dibandingkan dengan kaum Adam. Sekiranya intipati ceramah mengenai pasangan, pihak si isteri akan mudah terima dan berusaha berubah apatah lagi jika kena dengan cara dan pendekatan yang betul. Sebaliknya si lelaki yang turut mendengar tetapi kurang menghayati. Jika terima pun dengan perasaan sombong dan egonya dan memang sukar mengubah kesilapan.

WANITA - TULANG RUSUK YANG BENGKOK

        Walaupun hakikatnya bahtera rumah tangga itu sepatutnya dikemudikan oleh si suami namun era kini menyaksikan lebih banyak wanita yang lebih sensitif mengekalkan kerukunan. Maknanya wanitalah yang lebih banyak bersabar, menelan pahit maung kekurangan pendapatan atau menghadapi kerenah suami yang kadang kala membosankan. Wanita sepatutnya berbangga dengan kejayaan ini walaupun asalnya daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok.

        Nabi bersabda, wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok, maknanya jika dibiarkan sikapnya yang tidak elok, maka begitulah ia kekal selama-lamanya. Lantaran itu andai si suami ingin memberi nasihat, hendaklah secara psikologi dan lemah lembut sehingga yang bengkok itu akan lurus. Sebaliknya jika menggunakan kekerasan, maka tulang yang bengkok itu akan mudah patah atau pecah. Misalnya jika isteri pemarah, membebel dan cakap banyak, si suami anggap sahaja ia cubaan yang amat kecil. Allah berfirman, "Apa yang kamu tidak suka, itu adalah yang terbaik untuk kamu." Namun dengan perkembangan hari ini, nampaknya dunia sudah terbalik, si lelaki pula nampak gayanya banyak yang bengkok, selarnya.

CINTA DAHULU SEBELUM KAHWIN?

        Memang ramai yang membincangkan dua perkara ini sama ada cinta dahulu sebelum berkahwin atau berkahwin dahulu baru bercinta. Ada orang bercinta lama, selepas kahwin berasa jemu pula. Mulanya pasangan masing-masing buat perangai. Ada pula sarankan, lepas kahwin baru bercinta, mereka dakwa pula lepas kahwin baru pecah tembelang pasangan masing-masing. Maknanya, tidak ada kaedah khusus, ia bergantung kepada jodoh masing-masing, dedahnya.

        Beliau menambah, "Contohnya pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak kenal tetapi keluarga aturkan perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat mereka kekal sampai berpuluh-puluh tahun dan orang tua-tua dakwa cara begitu lebih baik. Sebenarnya itu bukan formula tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal di kampung, pergaulan bukanlah seluas atau semoden golongan yang tinggal di bandar. Jika berlaku pergaduhan, si suami tidak sampai hati menceraikan isteri, begitu juga si isteri jika minta cerai pun ke mana diri hendak dibawa?" soalnya.

        Sambungnya lagi, kedamaian hidup berumah tangga mesti dicatur sejak diawal perkenalan. "Mesti diselidik latar belakang pasanga kala peringka pemilihan pasangan. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan oleh Islam, insya-Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Namun jangan tersilap memilih, konon berkenan pasangan yang kuat agamanya. Kita hendaklah memandang dengan pandangan yang luas, bukan setakat sembahyang, puasa atau berzakat sahaja yang patut diambil kira. Antaranya hendaklah menjurus kepada nilai peribadi seseorang. Misalnya kesanggupan penerimaan kita kepada kerenah, gelagat atau tingkah laku pasangan. Kadang kala perangai lelaki membosankan dan tidak kurang ada yang menyejukkan, jika kita terima daripada awal maka redhalah sehingga akhirnya, kerana itulah suami atau isteri kita yang sebenar-benarnya.
LEPAS KAHWIN TERBONGKAR RAHSIA

        Ditanya bagaimana mahu membelai cinta seandainya selepas berkahwin baru terbongkar rahsia keburukan pasangan, beliau mengulas. Memang sukar menelah kebaikan individu meskipun seseorang itu taat kepada ibadatnya.

        Pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saidina Omar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi. Lantas Saidina Omar bertanya, "Apakah engkau kenal lelaki itu?" Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul mukmimin." Saidina Omar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?" Orang itu jawab, "Tidak pernah," Bertanya lagi Saidina Omar, "Apakah engkau pernah berjiran dengannya? Orang itu menjawab,'Tidak pernah.' Lantas ditanya Omar lagi, "Macam mana engkau kenal dia? Dijawab si pemuda. "Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik.' Omar berkata, "Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya." Daripada kisah yang diriwayatkan maknanya, sekadar tengok seseorang sembahyang, berulang alik ke masjid atau membaca al-Quran belum bererti kita tahu perangai yang sebenar. "Seeloknya ajak dia bermusafir, baru tahu kedekut atau tidak. Berjiran dengannya, baru tahu perangai peribadi, dan jika berniaga bersama-samanya baru tahu amanah atau sebaliknya diri seseorang. Jika sudah kenal hati budinya barulah boleh dia dijadikan kawan atau saksi. Begitu juga apabila mencari pasangan, selidik dahulu latar belakang dan nilai peribadinya. Caranya dengan menghantar wakil atau orang tengah yang boleh diharapkan," sarannya.

        Namun tidak dinafikan, apabila suami berubah sikap misalnya tidak lagi mesra seperti dahulu, tidak mahu bergurau senda apatah lagi memupuk kasih dan sayang si isteri akan makan hati dan menderita. Namun jangan sesekali dibiarkan sehingga meresap ke dalam hati dan perasaan yang akhirnya menjadi kebiasaan. Apabila suami buat perangai, cepat-cepat ditegur. Supaya dia segera sedar yang perbuatannya itu salah. Jika isteri terlalu sabar dan redha dibimbangi akan meresap ke dalam hati dan menjadi kesedapan kepadanya. Memang kenyataannya apabila menegur atau melembutkan hati suami, mereka akan lebih keras dan kasar. Gelagat perubahan ini lebih ketara apabila si suami sudah mula senang sedikit. Balik lewat malam, bersenang-senang dan makan-makan dengan teman-teman atau pergi berpoya-poya. Sebab itu dikatakan orang, wang sahaja membawa kebahagiaan tetapi mengheret kepada kecelakaan. "Cara untuk mengatasi masalah suami yang berubah hati, si isteri tidak boleh membentak. Kerana lelaki yang berperangai begini, hatinya sudah keras. Si isteri mesti menggunakan pendekatan dengan cara yang paling lembut sehingga mereka sedar.

        "Tidak dinafikan apabila si isteri berlembut, perangai suami semakin menjadi-jadi. Bagaimanapun cuba kita fikirkan, kalau membentak akan timbul pula permusuhan yang berpanjangan. Silap hari bulan, sisuami memukul atau mendera si isteri. Diam isteri bukan bererti redha dan bersetuju dengan perangainya cuma sekasar mana pun lelaki, namun jauh disudut hati pasti mempunyai belas. Kasihan dengan si isteri yang cukup tenang, sabar dengan perangainya yang buruk," ujarnya.

        Tambahnya lagi, "Ada masanya suami mesti disentak dengan perkara-perkara yang tidak dijangka. Misalnya seorang isteri yang sebelum ini banyak cakap tiba-tiba mogok. Lepas masak diam, lepas makan diam, hendak tidur pun diam, maknanya perangainya berubah menjadi pendiam. Mungkin dengan cara itu dia mampu meluahkan perasaannya daripada marah tidak tentu pasal kemudian dicop suami, dia derhaka. "Seperti kisah seorang pemuda yang menyatakan hasrat mahu berkahwin tetapi dihalang oleh emaknya. Jadi dia mogok, kalau melawan, bimbang menderhaka kepada orang tua dan dia takut masuk ke dalam api neraka. Lantas dia diam sahaja sepanjang masa. Tidak makan, tidak minum, tidak tidur, sembahyang sahaja yang dilakukan.

        Lama-kelamaan ibunya bertanya, "Engkau sakit ke, asyik diam aja." Si anak menggelengkan kepala.Oleh sebab emak sayangkan anak, lantas disuruhnya si anak berkahwin. Barulah si anak bersemangat dan bahagia. Dalam kes ini si anak terselamat, tidak menderhaka kepada ibunya dan dapat pula berkahwin," ceritanya.

TEGUR CARA BERHIKMAH

        Ismail Kamus menambah, jika sukar atau tidak sampai hati menegur suami yang buat perangai, gunakan orang tengah. "Memang susah mencari yang boleh dipercayai tetapi itulah cabaran yang mesti dihadapi. Bagaimanapun cara penyampaian orang tengah itu biar betul dan kena caranya sehingga suami tidak menyalahkan si isteri. "Selain memberi nasihat, isteri hendaklah mohon kepada Allah dan bermunajat kepada-Nya tanpa jemu. Di samping itu bacalah surah Ali-Imran, ayat 83 yang maksudnya:

"Apakah selain daripada agama Allah mereka cari, dan baginya, menyerahlah sesiapa yang di langit dan yang di bumi, secara sukarela dan terpaksa dan kepada-Nya jua mereka dikembalikan."

        "Ayat ini hendaklah dibaca sebanyak 1,000 kali sehari. Apabila hendak digunakan baca tiga kali dan tiup kepada orang yang berkenaan atau ditiupkan ke dalam air untuk diminum oleh orang tersebut. Mudah-mudahan, berkat doa dan air itu akan lembut hatinya."

        Menjawab persoalan, bagaimana membelai cinta jika si suami asyik panas baran beliau menjelaskan. Apabila suami baran, isteri kena sabar dan redha kerana itulah suami kita. Orang yang baran sebenarnya ada masalah. Jiwanya sakit tenat dan perlu diubati. Perhatikan di mana kelemahan suami dan cari punca kenapa dia marah. Kemudian kita cari jalan supaya dia tidak marah. Umpamanya kalau isteri lambat masak, suami akan marah, jadi si isteri hendaklah menyegerakan memasak. Ataupun setiap kali balik kerumah, suami mesti hendak minum, jadi cari jalan cepat-cepat sediakan minuman. Ertinya kita hendaklah menutup segala punca kemarahan suami dan lama-kelamaan penyakitnya akan reda.

        Kalau dia yang menyalakan api kemarahan, isteri hendaklah mendiam diri. Jangan sesekali marah kerana marah itu bukan milik kita tetapi haknya. Jika kita tentang kemarahannya, ia akan lebih cepat terbakar atau merebak. Lagipun api bukan lawannya api sebaliknya hendaklah disimbah dengan air supaya padam. "Untuk meredakan, amalkan surah Toha ayat satu hingga enam dan baca sebanyak 1,000 kali. Tiup kepada ubun-ubun atau mukanya sehingga kepusat sebanyak tiga kali. Insya-Allah akan lembut hatinya. Antara maksudnya,

"Tha, Ha, (Hai manusia), tiada Kami turunkan al-Quran ini supaya engkau mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut (kepada Tuhan). Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Tuhan yang Pemurah berkuasa di atas singgahsana. Kepunyaan-Nya apa yang ada dilangit, apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-duanya dan apa yang ada di bawah tanah." 

        Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menegur sesiapa sahaja yang masih mengabaikan rumah tangga sebaliknya hanya mahu berseronok dan berserakah, hendaklah segera bertaubat.

        Nabi bersabda, Barang siapa yang telah melampaui 40 tahun namun kebaikannya tidak mengatasi kejahatan hendaklah dia bersiap sedia untuk masuk api neraka."


Dedahan Ustaz penuh bermakna.



Wallahu'alam.



Peringatan Untuk HambaNya



Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'
Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal Bukan yang pergi
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patok itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna Harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia .




Wallahu'alam.